Jom Kita Kongsi Ilmu :)

Tuesday, August 23, 2011

Cukur Janggut : Awas



1. Hukum memelihara janggut
2. Apakah benar Rasulullah s.a.w. memelihara janggut kerana tidak ada pisau cukur pada zaman itu?

Alhamdulillah, inilah jawapannya:
Sebelum kita melihat mengenai hukum janggut, adalah baik seandainya kita melihat serba ringkas mengenai sunah/mandub.

Definasi Iaitu sesuatu yang dituntut oleh syarak kepada mukallaf agar mengerjakannya dengan satu tuntutan yang tidak tegas.
* Mukallaf – orang layak diberi bebanan hukum syarak.
Atau dengan maksud lain, sunah/mandub ialah sesuatu yang diberi pahala kepada jika mengerjakannya dan tidak akan disiksa/dosa jika meninggalkannya.

Sunah ini terbahagi kepada tiga bahagian:
1. Sunnah mua’kkadah
2. Sunnah ghairu mu’akkadah
3. Sunnah za’id

1. Sunnah mua’kkadah Iaitu perbuatan yang tidak akan disiksa/tidak berdosa jika meninggalkannya tetapi menerima celaan dari syarak. Contohnya ialah segala perbuatan penyempurna kewajipan agama seperti sembahyang berjamaah, azan dan iqamah. Begitu juga dengan segala perbuatan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. secara berterusan. Baginda jarang sekali meninggalkannya seperti berkumur-kumur ketika wudhuk, membaca surah selepas fatihah ketika sembahyang dll. Baginda ada sekali-sekala meninggalkannya kerana menunjukkan bahawa amalan itu bukannya wajib.

2. Sunnah ghairu mu’akkadah Iaitu perbuatan yang tidak akan disiksa/tidak berdosa jika meninggalkannya dan tidak akan menerima celaan dari syarak. Contohnya ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh nabi s.a.w. tidak secara berterusan. Baginda ada mengerjakannya sekali ataupun lebih, kemudian tidak dilakukannya. Seperti sembahyang sunah 4 rakaat sebelum Isyak dan segala perkara-perkara kebajikan seperti bersedekah kepada fakir miskin, berpuasa Isnin dan khamis setiap minggu dll.

3. Sunnah za’id Iaitu sebahagian dari kesempurnaan mukallaf, iaitu perkara-perkara kebiasaan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. berdasarkan kepada adat sebagai manusia biasa.
Contohnya seperti mengikut cara Rasulullah s.a.w. makan, minum, berpakaian, tidur, gaya berjalan dsbnya. Semuanya itu dianggap sebagai perkara kesempurnaan dan kebaikan dari mukallaf. Kerana ia menunjukkan kasih, sayang dan kecintaannya kepada Rasulullah s.a.w.
Namun kepada mereka yang tidak mengerjakannya tidak akan mendapat dosa dan tidak akan menerima celaan dari syarak. Bagi yang melakukannya akan memperoleh pahala jika diniatkan mahu mengikut cara Rasulullah s.a.w.
---------------------------------
Memelihara janggut pada sunnah yang mana? Para ulamak berselisih pendapat mengenainya:

1. Sebahagian ulamak termasuk Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan bahawa memelihara janggut adalah wajib. Dalilnya: Sabda Rasulullah s.a.w.: “Berbezalah kamu dengan orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan cukurlah misai.” (HR al-Bukhari)

Golongan ini berpendapat bahawa perintah Rasulullah s.a.w. di atas membawa maksud wajib.
Ini dikuatkan dengan perintah Nabi s.a.w. agar umat Islam hendaklah berbeza dengan orang-orang musyrik.
Juga terdapat sebuah hadis: “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum itu, maka dia akan tergolong di dalam kaum berkenaan.” (HR Abu Daud).

2. Segolongan ulamak berpendapat (termasuk mazhab Syafi’I) bahawa memelihara janggut adalah sunat. Makruh mencukurnya. Dalilnya, hadis: “Sepuluh perkara fitrah, iaitu memotong (merapikan) misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh ruas jari, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, beristinjak.” Kata Mus’ab: Aku lupa yang kesepuluh, melinkan ia adalah berkumur-kumur.” (HR Muslim)
Golongan ini berpendapat hadis ini menunjukkan bahawa memelihara janggut adalah sunat. Kerana apa yang disebutkan pada hadis di atas tidak semuanya wajib. Contohnya seperti bersugi, memasukkan air ke hidung dan memotong kuku – Ini adalah sunat sahaja.

Golongan ini menjawab hujah yang dikemukakan oleh golongan yang mengatakan bahawa janggut adalah wajib, kata mereka:
Sabda Rasulullah s.a.w.: “Berbezalah kamu dengan orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan cukurlah misai.” (HR al-Bukhari)
Perintah dalam hadis ini tidak menunjukkan atas hukum wajib, tetapi sunat. Kenyataan hukum sunat ini diberi dalam arahan agar kita ini perlu berbeza dengan orang musyrik.

Bagaimana? Hadis di atas meminta kita memelihara janggut agar kelihatan berbeda dengan orang musyrik. Jika arahan ini membawa maksud wajib, maka sudah tentu mewarnakan rambut juga adalah wajib hukumnya. Kerana terdapat di dalam sebuah hadis: “Sesungguhnya orang-orang Yahudi tidak mencelup (mewarna) rambutnya, maka berbezalah dengan mereka.” (HR jamaah)

Hadis ini sama nadanya dengan hadis janggut. Hadis mencelup rambut telah dipersetujui oleh para ulamak salaf sebagai sunat sahaja. Jadi, jika kita menganggap bahawa hadis janggut itu mengandungi arahan wajib, maka ini bermakna kita juga menganggap bahawa hadis mencelup rambut itu juga mengandungi arahan wajib.

Golongan ini berkata lagi, dari itu jelaslah bahawa mereka yang mengatakan janggut itu wajib tidak dapat diterima samasekali.
-------------
Mengenai hadis: “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum itu, maka dia akan tergolong di dalam kaum berkenaan.” (HR Abu Daud).
Hadis ini melarang umatnya meniru orang-orang kafir dalam masalah akidah dan syariah.

-------------------
3. Segolongan ulamak dari kalangan ulamak hari ini mengatakan bahawa memelihara janggut adalah harus sahaja, tidak sunat dan tidak wajib. Tidak sunat di sini bermaksud ia tergolong di bawah sunah za’idah. Mereka beranggapan bahawa memelihara janggut adalah berkaitan dengan adat dan tradisi sahaja.

Golongan ini juga berhujah menggunakan hadis: Sabda Rasulullah s.a.w.: “Berbezalah kamu dengan orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan cukurlah misai.” (HR al-Bukhari)

Hadis di atas menunjukkan bahawa memelihara janggut dan mencukur misai adalah sebagai adat dan tradisi sahaja. Ia bukan satu perintah wajib ataupun sunat. Kerana di dalam hadis berkenaan ada menyatakan illahnya (sebab hukum). Illah arahan memelihara janggut ialah agar tidak serupa dengan Yahudi, Kristian dll. yang ketika itu gemar memelihara misai dan mencukur janggut.

Jelaslah bahawa nabi memelihara janggut bukan bermaksud dijadikan sebagai pedoman hukum, tetapi semata-mata sebagai adat dan tradisi.

Di bawah pendapat ini, memelihara janggut dan mencukur misai termasuk di dalam sunat za’idah. Iaitu perbuatan yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. berdasarkan adat kebiasaan baginda sebagai seorang manusia. Seperti makan, minum, berpakaian dll. Beliau melakukannya bukanlah untuk memberi petunjuk hukum syarak tetapi atas dasar dia sebagai seorang manusia biasa. Sesiapa yang tidak melakukannya, tidak akan berdosa dan tidak akan dicela oleh syarak.
Mereka yang melakukannya dengan tujuan mengikut nabi s.a.w. akan diberi pahala. Ia adalah sebahagian dari kesempurnaan dan kebaikkan mukallaf. Ia menunjukkan kasih sayang dan kecintaannya kepada Rasulullah s.a.w.

-----------------------------------
Soal:Apakah benar Rasulullah s.a.w. memelihara janggut kerana tidak ada pisau cukur pada zaman itu?

Jawab:Ada pencukur tetapi hanya tidak seperti sekarang ini. Kerana hadis di atas membuktikan bahawa orang-orang dahulu juga melakukan cukur-mencukur seperti kita. Lihat, ketika itu orang Yahudi tabiatnya gemar mencukur janggut.
Pendapat bahawa nabi membela janggut kerana ketika itu tiada pencukur adalah satu pendapat yang tidak dapat diterima samasekali. Samada ia dikeluarkan oleh orang-orang yang dungu dan buta sejarah atau oleh mereka yang tahu semua itu tetapi bertujuan mahu memperlekehkan sunah Nabi s.a.w. Mereka ini, di dalam hatinya dipenuhi dengan dendam kesumat terhadap Islam dan syariatnya.

Berhati-hatilah terhadap neo-muktazilah... Bahaya mereka adalah kerana tidak dilabelkan dengan nama ini. Ramai yang jadi keliru. Jika GAH mampu menjebak hanya dari golongan yang memalingkan muka-muka mereka dari para ulamak Islam, tetapi neo-muktazilah ini mampu menjebak dari kalangan mereka yang berlatarbekangkan pendidikan agama.
Ungkapan mereka ini terhadap syariah Islam hanya berpandukan kepada akal sahaja. Mereka mengagungkan akal dengan mengenepikan wahyu Illahi.

Neo-Muktazilah akan menggembar-gemburkan kontekstual dengan mengenetepikan tekstual dalam penafsiran sumber-sumber hukum. Katanya, yang paling penting ialah `semangatnya’ al-Quran. Yang perlu ialah `nilai-nilai murni’ ajaran al-Quran dan Sunnah.

Hasilnya apa? Tidak perlu berhudud-hudud… Bagaimana ada ayat yang jelas di dalam al-Quran mengenainya?
Katanya, memang benar al-Quran ada mengatakan bahawa setiap penzina bujang perlu disebat 100 kali. Itu hanya tekstualnya sahaja. Kita kena lihat kontekstualnya. Kita perlu memperhatikan `semangatnya’. Kita hendaklah mengambil nilainya sahaja.


Katanya lagi, teksnya mengatakan penzina perlu dihukum sebat 100X, tetapi ia tidak semestinya begitu. Kerana apabila kita melihat disebalik teks yang kaku itu, terdapat satu pengajaran dan nilai, iaitu:
1. Berzina itu berdosa
2. Penzina itu perlu diberi pengajaran, tidak semestinya dengan sebat 100X sebagaimana di dalam teks. Ia boleh digantikan dengan apa-apa sahaja asal dapat memberi pengajaran.

Malah, neo-muktazilah ini menganggap, buat apa bertudung-tudung segala.. Ayat-ayat yang mewajibkan menutup aurat bagi wanita tidak dipandang pada teksnya sahaja tetapi diambil nilai murninya sahaja.

Malah, lebih dahsyat lagi ada yang mengatakan mengenai ibadah qurban.. Apa ini sembelih-sembelih binatang. Apa perlunya. Katanya, memang ada nash yang mengatakan ibadah qurban hendaklah dengan menyembelih binatang-binatang tertentu. Tetapi mengapa mesti berpegang kepada teks nash yang kaku itu. Ambil semangatnya, cedok nilainya.. Jadinya bagaimana ibadah qurban kita itu nanti?

Yah, apabila diambil nilainya sahaja tanpa memperdulikan teks… Gantikan saja lembu-lembu itu dengan wang! Berikan kepada faqir miskin. Mereka bukan memerlukan daging itu, tetapi wang untuk menaikkan tahap ekonomi mereka. Dahulu tidak mengapa, memang sesuainya fakir itu diberi daging tetapi tidak sekarang ini.

Lihat, agama ini dirosakkannya. Syariat ini mahu dirobek sekehendaknya sahaja.
Bacalah sejarah muktazilah.. Bukankah persis sekali dengan mereka ini, malah mereka lebih dahsyat lagi.
Mintalah Allah menjauhkan diri kita sejauh mungkin dari terjebak dengan manusia-manusia begini. Dan semoga Allah membuka hati-hati mereka kepada cahaya kebenaran dan keadilan syariat Islam.

---------------------------------
Memang benar, di atas terdapat tiga pendapat mengenai memelihara janggut. Apa sekalipun pendapat yang dipegangi, adalah tidak wajar dengan nada sinis memperlekeh pendapat yang dipegang oleh orang lain. Apatah lagi jika ia berbau menghina Nabi s.a.w.

Dan kebanyakkan kita di Malaysia, Singapura dan Indonesia rata-rata berpegang kepada janggut itu adalah sunat (lawan makruh), tetapi tidak wajar jika kita dengan sinis mempermain atau memperlekeh orang yang berpegang kepada pendapat mereka yang mengatakannya sebagai wajib. Adalah menjadi kewajipan kita menghormati apa yang dipegang oleh mereka dalam masalah furuk begini.
Reactions:

0 Pandangan yang Bernas !!: