Jom Kita Kongsi Ilmu :)

Monday, August 22, 2011

Resipi Panjang Umur



Syeq Qutb dalam satu tulisannya mendedahkan resepi untuk panjang umur. Resepi ini memang terbukti dalam sejarah hingga ke hari ini bahkan penulis ini sendiri masih hidup dihati-hati kita berkat resepi yang diamalkannya.

Kata beliau, untuk menjadikan umur kehidupan kita panjang maka kita perlu hidup untuk satu perjuangan. Selagi perjuangan itu masih berlangsung maka selagi itu kita hidup dijiwa-jiwa pendokongnya. Hakikat ini memang sesuatu yang benar. Hingga ke hari ini tokoh-tokoh yang memperjuangkan Islam masih hidup di dalam jiwa-jiwa penerus risalah Tauhid. Nama-nama seperti Hassan al Banna, Syed Qutb, Sa'id Hawa, Dr Fathi yakan dan sebagainya sentiasa meniti dari satu lidah ke satu lidah. Kata-kata mereka, nasihat serta pandangan mereka sentiasa berkemundang di udara dakwah serta memancarkan cahaya penyuluh kehidupan serta penawar bagi segala keresahan jiwa.

Bukan setakat itu, bahkan Rasulullah SAW serta sahabat-sahabat Radiallahu'anhum masih hidup dijiwa-jiwa kita, walaupun mereka telah meninggalkan kita lebih 1400 tahun dahulu. Nama-nama mereka sentiasa menggegarkan jiwa kita. Siapa tidak kenal Saidina Umar RA sahabat yang gagah perkasa hinggakan syaitan pun akan menukar arah laluan sekiranya dia mengetahui Saidina Umar RA melalui jalan yang sama. Lelaki gagah dengan jiwa yang begitu lunak dan mudah tersentuh dengan al Quran.

Siapa tidak kenal Saidina Abu Bakar RA, pemuda suci yang tidak pernah menyembah berhala, minum arak atau berzina yang menjadi amalan biasa masyarakat jahiliyyah. Sahabat karib Rasulullah SAW semenjak Baginda SAW masih belum diangkat sebagai Nabi dan Rasul. Imannya benar-benar mendapat pujian dari Rasulullah SAW; itulah Saidina Abu bakar As Siddiq. Rasulullah SAW pernah menggambarkan ketinggian iman Saidina Abu Bakar lebih tinggi jika dibandingkan dengan iman seluruh ummat.

Bukankah mereka masih hidup segar dalam jiwa kita, bergerak dalam urat darah kita dan bertutur di minda kita. Bukankah perjuangan merekalah yang menyalakan obor perjuangan kita. Bukankah nasihat-nasihat mereka sentiasa menjadi sahabat karib kita sehingga kita merasakan mereka hidup di sisi kita. Oleh itu hiduplah untuk satu perjuangan yang benar maka umur kita akan kekal selagimana perjuangan itu berlangsung.
Reactions:

0 Pandangan yang Bernas !!: