Jom Kita Kongsi Ilmu :)

Monday, October 3, 2011

Wanita Solehah: Di manakah mereka...?


Wanita menjadi perhiasan, suatu yang tidak boleh tiada di dunia. Tanpa kehadiran wanita, akan sunyi dan muramlah suasana di muka bumi ini. Itulah keistimewaan wanita, insan yang melahirkan semua manusia. Lebih istimewa lagi kalau wanita itu solehah; dia jadi penghibur kepada suami, pendidik kepada anak-anak, dia memeriahkan rumahtangga dan negara, turut membantu tugas-tugas suami.


 Sabda Rasulullah ﷺ: "Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah" -(HR. Muslim)

Dalam kelembutan wanita solehah tersimpan satu "super power" yang mampu mengharmonikan rumahtangga, keluarga, masyarakat dan negara. Iman mereka yang kental meyebabkan mereka terpilih sebagai wanita contoh. Wanita-wanita beginilah yang diidam-idamkan. antara ciri-ciri yang ada pada mereka ialah:

1. Beriman yang sempurna.
2. Kuat bersembahyang (fardhu dan sunat).
3. Banyak berzikir dan membaca Al Quran.
4. Kuat berpuasa.
5. Mencintai akhirat lebih daripada dunia.
6. Lebih suka memberi dari menerima.

Dalam Al Quran Allah ada menyebut tentang ciri-ciri wanita yang baik (solehah).

Firman-Nya:

عَسَىٰ رَبُّهُ ۥۤ إِن طَلَّقَكُنَّ أَن يُبۡدِلَهُ ۥۤ أَزۡوَٲجًا خَيۡرً۬ا مِّنكُنَّ مُسۡلِمَـٰتٍ۬ مُّؤۡمِنَـٰتٍ۬ قَـٰنِتَـٰتٍ۬ تَـٰٓٮِٕبَـٰتٍ عَـٰبِدَٲتٍ۬ سَـٰٓٮِٕحَـٰتٍ۬ ثَيِّبَـٰتٍ۬ وَأَبۡكَارً۬ا

"Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik (solehah) daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang mengerjakan ibadah, yang berpuasa, yang janda atau perawan." (Surah At Tahrim: 5)

Sabda Rasulullah ﷺ: "Apabila seorang isteri telah mendirikan solat lima waktu dan berpuasa bulan Ramadhan dan memelihara kehormatannya dan mentaati suaminya, maka diucapkan kepadanya: Masuklah Syurga dari mana-mana pintu Syurga yang kamu kehendaki. (Riwayat Ahmad dan Tabrani)

Itulah ciri-ciri yang ada pada wanita salafussoleh, wanita contoh yang patut diikuti. Yakni wanita-wanita yang kuat beriman, banyak ibadahnya, cinta akhirat lebih dari dunia, berlapang dada, bertolak ansur, berakhlak mulia dan lain-lain.

Itulah ciri-ciri penting yang menjadi asas pembentukan wanita mukminah, yang dengannya wanita itu akan menjadi tiang yang akan meneguhkan negara, menjadikan negara aman dan makmur dan mendapat keampunan Allah.

Apakah ada selain iman (yakni rasa takutkan kemurkaan Allah dan takutkan seksa Neraka), yang boleh menundukkan nafsu wanita daripada tercebur ke lembah maksiat, daripada sifat keji, ego, kontrol suami, sombong dan menyalahgunakan kedudukan serta kebolehan yang ada padanya? Tentu tidak!

Imanlah benteng yang paling kuat untuk menyelamatkan kaum wanita. Dengan iman, menjadikan kaum wanita itu pemalu dan bermaruah serta taat setia  pada Allah, Rasul dan suami. Sanggup tinggal di rumah, mengemas rumah, melayan suami dan anak-anak.

Sanggup tutup aurat dan tidak bebas dengan lelaki ajnabi. Cukup dengan pemberian suami, tidak minta yang tidak ada. Tidak mengongkong suami, tidak bertanya dengan soalan-soalan yang menyusahkan suami. Taat dan tidak mempersoalkan suami selagi masih mengikut syariat Allah.

Tidak  bermewah-mewah, tidak membazir, tidak menunjuk-nunjuk dan tidak berlumba-lumba untuk menimbunkan harta dunia.

Kaum wanita menjadi tiang negara dan sama-sama menegakkan hukum Allah di muka bumi ini. Itulah wanita yang  jadi ibu mithali, yang tangannya boleh menggoncangkan dunia. Sumbangannya boleh mengubah dunia daripada jahiliah kepada Islam.

Dan  ini hanya boleh dibuat dengan  iman dan Islam.

Jadi perjuangan wanita yang utama ialah mencari iman. Seminar, diskusi, forum, dialog, pidato dan kempen-kempen oleh kaum wanita, bentuknya hendaklah diarahkan kepada memperkatakan dan mendapatkan iman. Itulah satu-satunya yang benar-benar menjamin kemuliaan sumbangan wanita kepada agama dan masyarakat.

Wanita-wanita beginilah yang mengharmonikan sesebuah rumahtangga, melahirkan masyarakat yang aman damai dan membantu membentuk negara yang makmur. Di manakah mereka...? 
Reactions:

0 Pandangan yang Bernas !!: