Jom Kita Kongsi Ilmu :)

Tuesday, July 24, 2012

Shaitan dan ciri-cirinya (Bahagian Pertama)



Terdapat banyak ayat al-Qur’an dan hadis sahih yang menerangkan ciri-ciri syaitan. Semua ini didedahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk kebaikan kita kerana dengan pengetahuan akan ciri-ciri syaitan, kita akan dapat mengetahui apa sifat mereka, sekadar mana kemampuan mereka dan bagaimana mereka bertindak.[1]


Sebelum kita mengkaji ciri-ciri tersebut, sekali lagi saya ingin menasihati para pembaca yang budiman sekalian agar:

Tidak berpaling atau membantah ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah yang dikemukakan.
Tidak menilainya dengan akal atau cuba menselarikannya kepada akal dengan alasan “ciri-ciri tersebut ialah kiasan (majaz) semata-mata.”
Tidak bertanya, berfikir dan menokok tambah dari apa yang sedia dijelaskan oleh al-Qur’an dan hadis.


Ciri # 1: Syaitan memiliki kepala.
Ciri ini diterangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam firman-Nya:
Sesungguhnya Kami jadikan (pokok Zaqqum itu) satu ujian bagi orang-orang yang zalim.
Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang,
buahnya seolah-olah kepala syaitan-syaitan.
[al-Saffat 37:63-65]



Ciri # 2: Syaitan memiliki dua tanduk.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

لاَ تَحَرَّوْا بِصَلاَتِكُمْ طُلُوعَ الشَّمْسِ وَلاَ غُرُوبَهَا فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بِقَرْنَيْ شَيْطَانٍ.

Janganlah kalian melaksanakan solat (sunat mutlak) pada waktu terbit matahari
(selepas subuh) dan terbenam matahari (selepas asar)
kerana pada waktu itu muncul dua tanduk syaitan.[2]



Ciri # 3: Syaitan memiliki hati, mata dan telinga.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam
banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati
(tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah),
dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat
dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi)
tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat).
[al-A’raaf 7:179]

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, syaitan adalah dari jenis jin. Maka ciri-ciri yang dimiliki oleh jin dimiliki juga oleh syaitan. Dalam ayat 179 surah al-A’raaf di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa jin memiliki hati, mata dan telinga. Maka demikian jugalah bagi syaitan, ia juga memiliki hati, mata dan telinga.

Sebelum ini dalam bab “Asal Usul Permusuhan Syaitan Kepada Manusia”, kita mengetahui bahawa syaitan mendengar perintah Allah untuk sujud kepada manusia, menunjukkan bahawa syaitan memiliki telinga. Kemudian syaitan enggan sujud kerana takbur, dimana dua dari sikap takbur tersebut ialah ujub terhadap diri sendiri dan menghina kepada orang lain. Kedua-dua sikap ini merupakan peranan hati, menunjukkan bahawa syaitan memiliki hati.

Merujuk kepada penglihatan, syaitan dapat melihat manusia manakala manusia tidak dapat melihat syaitan. Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan perbezaan ini:

Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu
dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.
[al-A’raaf 7:27]



Ciri # 4: Syaitan memiliki suara.
Syaitan juga memiliki suara dan boleh bercakap-cakap, membantah, menyoal, membisik dan menghasut dengannya. Semua ini dapat kita ketahui melalui dialog iblis dengan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:
“Sujudlah kamu kepada Adam”,
maka sujudlah mereka melainkan iblis; ia berkata:
“Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?”

Ia berkata lagi: “Khabarkanlah kepadaku,
inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?
Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga Hari Kiamat,
tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya,
kecuali sedikit (di antaranya).”

Allah berfirman (kepada iblis): “Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)!
Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka,
maka sesungguhnya neraka Jahannamlah
balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.

Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat
memujuknya dengan suaramu;
dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda
serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka;
dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda
dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu).”
Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.
[al-A’raaf 17:61-64]

Syaitan menggunakan suaranya untuk mengganggu manusia dengan pelbagai cara. Antaranya, bercakap kepada manusia melalui perantaraan batu, pokok, mata air dan haiwan. Umpama seseorang yang masuk ke hutan, tiba-tiba sebuah batu bercakap-cakap kepadanya: “Wahai Azlina! Kamu seorang wanita yang shalihah. Amalan kamu selama ini telah mencukupi. Kini memadai untuk kamu berzikir sahaja, tanpa perlu solat, puasa zakat dan haji.” Percakapan tersebut sebenarnya berasal dari syaitan.

Oleh kerana suara-suara syaitan inilah sebahagian masyarakat menganggap wujudnya “penunggu” atau “penjaga” di kawasan hutan, air terjun, padang pasir dan sebagainya. Kemudian ada pula yang memberi petua, apabila memasuki hutan ucapkanlah selawat kepada nabi sekian-sekian kerana dia adalah penjaganya. Apabila menghampiri kawasan air terjun ucapkanlah selawat kepada wali sekian-sekian kerana dia adalah penjaganya. Semua ini hanyalah tipu daya syaitan untuk menyesatkan umat Islam.




Ciri # 5: Syaitan memiliki akal.
Berdasarkan bantahan syaitan kepada Allah, dapat kita mengetahui bahawa syaitan memiliki akal. Ini kerana ia telah menggunakan logik akal untuk membantah perintah Allah, seperti kata-katanya:

·         “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah?”
·         “Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?”

Akal adalah sesuatu yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala agar dengan akal tersebut makhluk dapat mentaati dan melaksanakan perintah larangan-Nya dengan cara yang tepat dan betul. Sebaliknya jika akal digunakan untuk mengukur logik atau tidak sesuatu perintah larangan Allah, maka ia adalah suatu penyimpangan yang mengkhianati kurniaan akal itu sendiri.




Ciri # 6: Syaitan ketawa.
Syaitan boleh ketawa. Ini dapat kita ketahui dari hadis berikut:

التَّثَاؤُبُ مِنْ الشَّيْطَانِ فَإِذَا تَثَاءَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَرُدَّهُ مَا اسْتَطَاعَ

فَإِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَالَ هَا ضَحِكَ الشَّيْطَان.ُ

Menguap adalah dari syaitan. Maka apabila seseorang kalian menguap,
tahanlah sedaya mungkin kerana sesungguhnya
apabila seseorang kalian menguap sambil berbunyi “Haaa”
maka ketawalah syaitan.[3]

Jika tidak dapat menahan diri dari menguap, maka tutuplah mulut yang sedang menguap dengan tangan dan jangan mengeluarkan apa-apa bunyi. Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar kita:

إِذَا تَثَاوَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيُمْسِكْ بِيَدِهِ عَلَى فِيهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَدْخُلُ.

Jika seseorang kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya
kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).[4]

Ada pun bersin, maka ia disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan perbezaan antara menguap dan bersin:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعُطَاسَ وَيَكْرَهُ التَّثَاؤُبَ فَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ

فَحَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ سَمِعَهُ أَنْ يُشَمِّتَهُ وَأَمَّا التَّثَاؤُبُ

فَإِنَّمَا هُوَ مِنْ الشَّيْطَانِ فَلْيَرُدَّهُ مَا اسْتَطَاعَ فَإِذَا قَالَ هَا ضَحِكَ مِنْهُ الشَّيْطَانُ.

Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan membenci menguap.
Maka apabila (seseorang itu) bersin maka pujilah Allah
dan merupakan hak bagi setiap muslim yang mendengar
(saudaranya bersin) untuk mendoakannya.
Ada pun menguap, maka ia tidak lain berasal dari syaitan.
Tahanlah ia semampu mungkin dan apabila (yang menguap)
berbunyi “Haaa” maka ketawalah syaitan.[5]

Oleh itu Bagi orang yang bersin, hendaklah dia memuji Allah dengan menyebut:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.
“Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.”

Bagi yang mendengar orang bersin, dia berdoa:

يَرْحَمُكَ اللهُ.
“Semoga Allah merahmati kamu”.

Kemudian bagi yang bersin, dia menjawab kepada orang yang mendoakannya:

يَغْفِرُ اللهُ لَنَا وَلَكُمْ.
“Semoga Allah mengampuni bagi kami dan bagi kalian.”[6]


Sekali pun bersin adalah sesuatu yang disukai, tidaklah bererti seseorang itu boleh bersin di hadapan muka orang lain, menghamburkan air liurnya atau bersin dengan suara yang kuat. Abu Hurairah radhiallahu ‘anh menerangkan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا عَطَسَ وَضَعَ يَدَهُ

أَوْ ثَوْبَهُ عَلَى فِيهِ وَخَفَضَ أَوْ غَضَّ بِهَا صَوْتَهُ.

Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersin,
baginda meletakkan tangannya atau bajunya
ke atas mukanya (mulut dan hidung) sambil merendahkan
(atau sambil menundukkan muka dan) suaranya.[7]




Ciri # 7: Syaitan memiliki tangan dan jari.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ

فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ.

Apabila seseorang kalian makan, maka makanlah dengan tangan kanannya
dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya.
Ini kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya
dan minum dengan tangan kirinya.[8]

Oleh kerana itu kita umat Islam sangat-sangat ditekan untuk makan dan minum dengan tangan kanannya. Penekanan ini turut merangkumi apa jua perkakas yang digunakan seperti sudu, garpu, chopsticks dan lain-lain, hendaklah semuanya dipegang dengan tangan kanan.

Pernah dahulu seseorang yang duduk bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam makan dengan tangan kirinya. Rasulullah menegur: “Makanlah dengan tangan kanan kamu.” Orang itu menjawab: “Aku tidak mampu.” Rasulullah menjawab: “Kamu tidak mampu?” Padahal dia enggan tidak lain kerana kesombongan. Perawi hadis, Salama bin al-Akwa’ radhiallahu 'anh kemudian menerangkan bahawa setelah itu lelaki tersebut tidak dapat mengangkat tangan kanannya ke mulutnya.[9] Tangan kanannya menjadi lumpuh sejak dia membantah teguran Rasulullah.

Syaitan juga memiliki jari berdasarkan keterangan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

كُلُّ بَنِي آدَمَ يَطْعُنُ الشَّيْطَانُ فِي جَنْبَيْهِ بِإِصْبَعِهِ حِينَ يُولَدُ

غَيْرَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَهَبَ يَطْعُنُ فَطَعَنَ فِي الْحِجَابِ.

Setiap anak Adam (manusia) ketika lahir ditusuk di kedua tepi badannya
oleh syaitan dengan jarinya kecuali ‘Isa ibni Maryam,
syaitan hendak menusuknya tetapi hanya berjaya menusuk uri (ibunya).[10]





Ciri # 8: Syaitan makan dan minum.
Berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “…sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya”, kita juga dapat mengetahui syaitan makan dan minum.

Syaitan makan apa-apa yang dibiarkan oleh kita, sama ada yang masih tersisa di pinggan atau apa yang terjatuh darinya. Oleh kerana itulah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh kita menghabiskan semua makanan dan mengutip apa yang terjatuh darinya. Tindakan ini bukan sahaja mengelak makanan tersebut daripada diambil oleh syaitan tetapi untuk kita memperoleh keberkatan yang sepenuhnya dari makanan tersebut. Anas bin Malik radhiallahu 'anh berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَكَلَ طَعَامًا لَعِقَ أَصَابِعَهُ الثَّلاًثَ.

قَالَ وَقَالَ: إِذَا سَقَطَتْ لُقْمَةُ أَحَدِكُمْ فَلْيُمِطْ عَنْهَا الأَذَى وَلْيَأْكُلْهَا وَلاَ يَدَعْهَا لِلشَّيْطَانِ.

وَأَمَرَنَا أَنْ نَسْلُتَ الْقَصْعَةَ. قَالَ: فَإِنَّكُمْ لاَ تَدْرُونَ فِي أَيِّ طَعَامِكُمْ الْبَرَكَةُ.

Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam makan,
baginda menjilat jari-jarinya tiga kali.

Anas berkata, bahawa Rasulullah bersabda:
“Jika sesuatu makanan seseorang kalian jatuh,
hendaklah (dia mengambilnya) dan membersihkan apa-apa kotoran
yang melekat padanya lalu memakannya.
Janganlah meninggalkannya untuk syaitan.”

Anas melanjutkan: “(Rasulullah) juga menyuruh kami
untuk menghabiskan apa-apa sisa makanan.”
Baginda berpesan: “Ini kerana kalian tidak tahu
di bahagian manakah pada makanan kalian terdapat keberkatan.”[11]

Untuk mengelakkan apa-apa makanan dari tersisa, hendaklah kita sejak dari awal menyukat jumlah makanan yang diletakkan ke dalam pinggan. Ambil sekadar yang perlu tanpa berlebih-lebihan. Syaitan akan menghasut kita untuk mengambil secara berlebihan kerana berlebihan adalah salah satu bentuk pembaziran dan hubungan antara orang yang membazir dengan syaitan adalah:

Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan.
[al-Isra’ 17:27]

Selain itu syaitan minum sambil berdiri.

Pada satu ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat seorang yang minum sambil berdiri. Baginda menegur: “Jangan begitu!” Orang itu bertanya: “Mengapa?”  Rasulullah menjawab: “Adakah kamu suka minum bersama kucing?” Orang ituu menjawab: “Tidak.” Rasulullah meneruskan:

فَإِنَّهُ قَدْ شَرِبَ مَعَكَ مَنْ هُوَ شَرٌّ مِنْهُ: الشَّيْطَانُ.

Sesungguhnya telah ikut serta minum bersama kamu
sesuatu yang lebih buruk darinya, iaitu syaitan.[12]

Oleh itu hendaklah kita sedaya upaya mengelakkan diri minum sambil berdiri. Jika suasana tidak mengizinkan, boleh minum sambil berdiri. Ini kerana dalam suasana terpencil lagi terdesak, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah minum sambil berdiri. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma berkata:

سَقَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ زَمْزَمَ فَشَرِبَ وَهُوَ قَائِمٌ.

Aku menghidang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam air zam-zam
dan baginda meminumnya sambil berdiri.[13]



Ciri # 9: Syaitan membuang air kecil.
Syaitan juga membuang air kecil, khasnya kepada orang yang tidur lena sepanjang malam sehingga matahari naik. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah ditanya berkenaan orang yang tidur sepanjang malam hingga pagi hari. Baginda menjawab:

ذَاكَ رَجُلٌ بَالَ الشَّيْطَانُ فِي أُذُنَيْهِ (أَوْ قَالَ) فِي أُذُنِهِ.

Itu adalah orang yang syaitan kencing dalam kedua-dua telinganya
atau salah satu telinganya.[14]




Ciri # 10: Syaitan memiliki keturunan.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya
sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada-Ku?
[al-Kahf 18:50]



Ciri # 11: Syaitan memiliki pasukan tenteranya.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِذَا أَصْبَحَ إِبْلِيسُ بَثَّ جُنُودَهَ فَيَقُول: مَنْ أَضَلَّ مُسْلِمًا أَلْبَسْتُهُ التَّاجَ.

Pada waktu pagi, iblis mengutus pasukan tenteranya seraya berkata:
“Sesiapa yang berjaya menyesatkan seorang muslim
maka aku akan memakaikan mahkota kepadanya.”[15]

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan bertahap-tahaplah dalam memujuk sesiapa yang engkau dapat dengan suaramu;
dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda
serta yang berjalan kaki… [al-Isra’ 17:64]

Dengan pasukan tentera serta para penyokongnya, syaitan berusaha untuk membuat fitnah kepada manusia. Lebih hebat fitnah yang dilakukan, lebih besar pangkat dan anugerah yang dihadiahkan kepada tentera yang berjaya melakukannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan strategi ketenteraan ini:

إِنَّ إِبْلِيسَ يَضَعُ عَرْشَهُ عَلَى الْمَاءِ ثُمَّ يَبْعَثُ سَرَايَاهُ فَأَدْنَاهُمْ مِنْهُ مَنْزِلَةً أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً.

يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ: فَعَلْتُ كَذَا وَكَذَا! فَيَقُولُ: مَا صَنَعْتَ شَيْئًا. قَالَ ثُمَّ يَجِيءُ أَحَدُهُمْ

فَيَقُولُ: مَا تَرَكْتُهُ حَتَّى فَرَّقْتُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ امْرَأَتِهِ. قَالَ: فَيُدْنِيهِ مِنْهُ وَيَقُولُ: نِعْمَ أَنْتَ!.

Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air.
Kemudian dia mengutuskan para tenteranya (untuk memfitnah manusia).
Di antara para tentera itu, mereka yang memiliki kedudukan
yang paling hampir dengannya ialah yang paling hebat dalam membuat fitnah.

Salah seorang dari tentera itu datang dan berkata:
“Saya telah melakukan sekian-sekian!”
Iblis menjawab: “Kamu belum melakukan apa-apa.”
Kemudian datang seorang tentera yang lain dan berkata:
“Tidaklah saya meninggalkan (orang yang saya ganggu) sehinggalah
dia menceraikan isterinya.”
Iblis menghampiri tentera itu dan berkata: “Anda hebat!”[16]

Di antara pasukan tentera syaitan ialah manusia, iaitu mereka yang telah berjaya dipengaruhinya untuk memusuhi Islam dan umatnya. Satu contoh ialah orang-orang musyrik dalam Perang Uhud yang Allah Subhanahu wa Ta'ala sebut sebagai penolong (al-Auliya’) syaitan:

Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan yang menakut-nakutkan (kamu terhadap)
penolong-penolongnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka,
tetapi takutlah kepada-Ku, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[‘Ali Imran 3:175]




Ciri # 12: Syaitan mencari tempat bermalam.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ وَعِنْدَ طَعَامِهِ

قَالَ الشَّيْطَانُ: لاَ مَبِيتَ لَكُمْ وَلاَ عَشَاءَ.

وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يَذْكُرْ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ

قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمْ الْمَبِيتَ.

وَإِذَا لَمْ يَذْكُرْ اللَّهَ عِنْدَ طَعَامِهِ

قَالَ: أَدْرَكْتُمْ الْمَبِيتَ وَالْعَشَاءَ.

Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, berkatalah syaitan (kepada golongannya): “Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga makanan malam.”

Sebaliknya apabila seorang itu memasuki rumah
dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya,
berkatalah syaitan (kepada golongannya):
“Kalian telah mendapat tempat bermalam.”

Apabila seorang tidak mengingati Allah ketika makan,
berkatalah (syaitan kepada golongannya):
“Kalian telah mendapat tempat bermalam dan makan malam.”[17]

Demikian juga apabila kita hendak keluar rumah, maka kuncilah pintu sambil menyebut nama Allah. Nescaya syaitan tidak akan dapat membukanya. Tutuplah juga bekas-bekas makan dan minum, nescaya syaitan tidak dapat membukanya dan mencemarinya. Padamkan juga lampu agar dengan itu syaitan tidak dapat menyebabkan berlakunya kebakaran. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا وَأَوْكُوا قِرَبَكُمْ

وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ وَخَمِّرُوا آنِيَتَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ

وَلَوْ أَنْ تَعْرُضُوا عَلَيْهَا شَيْئًا وَأَطْفِئُوا مَصَابِيحَكُمْ.

Dan kuncilah pintu-pintu kalian dan sebutlah nama Allah
(dengan membaca Bismillah) kerana sesungguhnya syaitan
tidak dapat membuka pintu-pintu yang dikunci (dengan menyebut nama Allah).
Ikatlah kantong-kantong air kalian dan sebutlah nama Allah,
tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah,
walau pun (tutupan) itu sekadar meletakkan sesuatu di atasnya
dan matikanlah lampu-lampu pelita kalian.[18]


Jika syaitan berjaya memasuki rumah untuk bermalam, syaitan akan bermalam dalam hidung para penghuni rumah tersebut. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِذَا اسْتَيْقَظَ (أُرَاهُ أَحَدُكُمْ) مِنْ مَنَامِهِ فَتَوَضَّأَ

فَلْيَسْتَنْثِرْ ثَلاَثًا فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَبِيتُ عَلَى خَيْشُومِهِ.

Apabila seseorang kalian bangun dari tidurnya dan berwudhu’,
maka (sedutlah air ke dalam hidungnya dan)
hembuslah air itu keluar sebanyak tiga kali
kerana sesungguhnya syaitan bermalam di lubang hidung kalian.[19]



Ciri # 13: Syaitan dapat bergerak pantas.
Makhluk jin dapat bergerak pantas, sekali pun dengan membawa beban yang amat besar lagi berat. Ini dapat kita ketahui dari sejarah Nabi Sulaiman ‘alaihi salam:

Nabi Sulaiman berkata pula: “Wahai pegawai-pegawaiku,
siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya
(Puteri Balqis dari Yaman ke Baitul Maqdis)
sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?”
Berkatalah Ifrit dari golongan jin:
“Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun
dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat
gagah untuk membawanya, lagi amanah.”
[al-Naml 27:38-39]

Syaitan adalah dari jenis jin dan dengan itu kita mengetahui bahawa ia juga dapat bergerak pantas. Antara ketika ia bergerak pantas adalah apabila azan dilaungkan:

إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا نُودِيَ بِالصَّلاَةِ وَلَّى وَلَهُ حُصَاصٌ.

Sesungguhnya syaitan apabila dikumandangkan azan,
ia akan berpaling dan lari dengan pantas.[20]


--------------------------


[1] Penyusunan bab ini adalah berdasarkan manhaj Imam al-Bukhari rahimahullah (256H) yang telah meletakkan satu bab khusus dalam kitab Shahihnya, iaitu Sifat iblis dan para tenteranya. Dalam bab tersebut beliau telah meletakkan hadis-hadis yang menerangkan sifat-sifat atau ciri-ciri iblis, syaitan dan para tentera mereka. Lalu saya mengikuti manhaj tersebut dan menghimpun ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis sahih dari kitab Shahih al-Bukhari dan selainnya berkenaan ciri-ciri syaitan ke dalam bab ini.
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 828-2 (Kitab solat al-Musafirin…, Bab waktu-waktu yang dilarang solat padanya).
[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3289 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2995 (Kitab al-Zuhd wa al-Raqa’iq, Bab bersin dan kebencian menguap).
[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6223 (Kitab al-Adab, Bab disukai bersin dan dibenci menguap).
[6]  Sahih: Dikeluarkan oleh al-Thabarani dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir, hadis no: 686.
[7] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 5029 (Kitab al-Adab, bab berkenaan bersin). Syaikh Ismail bin Marsyud al-Rumaih memiliki buku kecil yang khas lagi menarik dalam bab ini, berjudul Adab al-Tatstsaub wa al-‘Uthas yang sudah diterjemah oleh Ismail Ali atas judul Adab Menguap dan Bersin yang diterbitkan oleh Pustaka Imam asy-Syafi’i, Bogor, 2004.
[8] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2020 (Kitab al-Asyrabah, Bab adab makan dan minum…).
[9] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2021 (Kitab al-Asyrabah, Bab adab makan dan minum…).
[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3286 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).
[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2034 (Kitab al-Asyrabah, Bab disukai menjilat jari…).
[12] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Darimi dan sanadnya dinilai sahih oleh Husain Salim Asad dalam semakannya ke atas Musnad al-Darimi, hadis no: 2174 (Kitab al-Asyrabah, Bab orang yang dibenci minum berdiri).
[13] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2027 (Kitab al-Asyrabah, Bab minum air zam-zam sambil berdiri).
[14] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3270 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).
[15] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban, hadis no: 6189 (Kitab al-Tarikh, Bab permulaan penciptaan, berkenaan khabar iblis yang meletakkan mahkota ke atas kepala tenteranya yang paling berjaya membuat fitnah).
[16] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2813-2 (Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Jannah…, Bab gangguan syaitan dan pengutusan tenteranya…).
[17] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2018 (Kitab al-Asyrabah, Bab adab makan dan minum…).
[18] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2012 (Kitab al-Asyrabah, Bab perintah menutupi bekas…).
[19] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3295 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).
[20] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 389-2 (Kitab al-Solat, Bab keutamaan azan…).

0 Pandangan yang Bernas !!: