Jom Kita Kongsi Ilmu :)

Wednesday, September 5, 2012

"Bila Awak Nak Kahwin?"


Pada saat usia mencecah alam dewasa, pastinya persoalan jodoh merupakan salah satu perkara yang amat mengusutkan fikiran kita. Soalan-soalan yang dilontarkan oleh insan sekeliling biarpun secara gurauan terasa sangat menyentap perasaan. Bila berseorangan, kita rasa kurang keyakinan, rasa serba kekurangan, malu dan tertekan...
Ketika berkumpul bersama kawan-kawan, ramai antara mereka yang sudah menimang cahaya mata, sedangkan kita hanya mampu memandang dan bermonolog dalam hati, "Bilakah waktunya untuk aku mengalaminya juga..." Hati rasa lebih tersentuh apabila ibu dan ayah kita memeluk dan mencium anak orang lain. Kita faham itu petandanya mereka sangat mendambakan cucu mereka sendiri...
Tapi itu semua kehendak Allah, bukan kehendak kita. Tiada siapa pun dalam dunia ini yang mahu hidup berseorangan. Namun kita harus akur dengan takdir Allah yang masih belum mengizinkan kita untuk bertemu jodoh. Kita harus berikhtiar, bersabar dan jangan sesekali berputus asa. Kerana jodoh itu rahsia Allah. Bila, siapa, di mana dan bagaimana, itu semua hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Dalam menghadapi saat ini, usahlah diturutkan sangat dengan tekanan perasaan dek sindiran insan sekeliling. Tapi cubalah ikhtiar dan muhasabah diri kita. Adakah sudah cukup usaha dan ikhtiar kita dalam mencari jodoh? Adakah kita pernah minta pada Allah supaya diringankan jodoh pada setiap kali sujud kepadaNya? Berapa kali kita bangun dan bersolat hajat pada malam hari memohon dipermudahkan jodoh? Pernahkah kita solat sunat Dhuha, memohon limpahan rezeki berupa jodoh yang baik dan keluarga yang sakinah? Berapa kali kita solat taubat, memohon keampunan agar doa kita untuk mendapat jodoh tidak terhalang disebabkan dosa-dosa silam kita? Dan cukupkah ikhtiar kita dengan solat istikharah agar tidak terburu-buru membuat keputusan dan pilihan hanya kerana terdesak?
Selain itu, cuba kita muhasabah diri kita. Adakah ikhtiar kita selama ini menepati syariat yang digariskan oleh Allah? Adakah kita sudah menahan diri daripada bergaul bebas dengan mereka yang bukan mahram? Adakah kita sudah menjaga diri daripada berhias berlebih-lebihan hanya untuk menarik perhatian kaum lelaki? Seandainya sudah menepati syariat tapi masih gagal, redha dan yakinlah bahawa Allah telah merancang yang terbaik buat kita. Teruskan usaha dan bersabarlah.


Namun di sebalik ikhtiar dan kesabaran, kita juga haruslah mengkaji apakah hikmahnya ujian Allah terhadap kita yang lambat jodoh. Mungkin kita hanya memandang kelebihan orang yang cepat jodoh; dapat menjadi ibu dan bapa lebih awal dan dapat melaksanakan sunnah lebih awal. Tapi sedarkah kita yang lambat jodoh masih juga punya kelebihan? Saat inilah masanya untuk kita berbakti kepada ibu bapa kita. Bila kita sudah berumahtangga, keadaan mungkin berbeza kerana terpaksa membahagi masa untuk keluarga sendiri dan juga untuk ibu bapa. Saat ini jugalah masanya untuk kita menimba ilmu sebanyak-banyaknya. Dalami ilmu agama, ilmu untuk menguruskan rumahtangga dan ilmu untuk mendidik anak-anak agar kita lebih bersedia apabila tiba saatnya nanti.
Akhir sekali, usahlah bersedih hati. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Jaga iman dan hati agar tidak tertipu dengan hasutan nafsu. Jaga maruah seorang wanita; jangan sampai nasibnya menjadi seperti epal yang masak ranum di puncak pohon, tapi akhirnya gugur ke bumi lalu membusuk dan tidak berguna hanya kerana tiada yang sudi memetiknya.

Kdit : Iluvislam.com
Reactions: