Jom Kita Kongsi Ilmu :)

Thursday, September 29, 2011

Ingat Lima Sebelum Lima



Rasulullah ﷺ bersabda,


 اغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَصِحَّتِكَ قَبْلَسَقَمِكَ وَغِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَفَرَاغِكَ قَبْلَ شُغْلِكَ وَحَيَاتِكَ قَبْلَ مَوْتِكَ
(رَوَاهُ الحاكمُ وصَحَّحَه)

"Pergunakanlah kesempatan lima perkara sebelum datangnya lima perkara: "Muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati." (Al-Hakim)


1. Muda sebelum tua.

Memang sudah maklum golongan muda memiliki fizikal yang kuat, cergas dan tangkas. Akal cerdas dan mudah menerima serta memahami sesuatu. Hati dan jiwa pula masih bersemangat, kuat merangsang dan mendorong. Ketika muda, masih belum banyak karat-karat dosa dan mazmumah. Masih mudah dilentur, diasuh dan dicorak.Banyak tabiat dan sikap belum benar-benar melekat dan sebati. Tabiat dan sikap buruk lebih mudah dikikis. Ini berbeza berbanding apabila menjangkau usia 40 tahun, seperti yang dijelaskan Imam Al Ghazali di dalam Ayyuhal Walad:

من أتت عليه أربعون سنة ولم يغلب خيره شره فليتجهز إلى النار

"Sesiapa yang mencapai umur 40 tahun sedangkan kebaikannya tidak mengatasi kejahatan, bersiap-siaplah ke neraka."

Usia 40 tahun itu sudah dikira sebagai baki umur yang sudah sedikit berbanding umur sebelumnya. Umur 40 tahun juga sebagai garis pemisah pemuda yang masih lembut dengan dewasa yang sudah keras. Penggunaan waktu muda dengan kebaikan akan terus menjadi tabiat yang melekat hingga ketua.

Sedangkan sebaliknya ibadah bagi orang yang sudah tua itu yang tidak istiqamah semenjak muda seolah-olah sekadar satu alternatif terakhir sahaja. Dan bukan sebagai bukti kecintaan yang mendalam. Apabila beramal dalam keadaan bercampur paksaan maka hilanglah kelazatan amal dan tidak berkesan atau berbekas. Maka akhlakpun tidak bertambah elok. Waktu tua pula sering uzur, lemah, kurang bermaya, kurang semangat serta ingatan pula turut lemah.

Sama ada ibadah yang khusus, mahupun urusan umum, kesempurnaannya memerlukan gabungan kekuatan fizikal, mental dan spiritual. Ambil satu contoh iaitu ibadah haji. Kalau sudah tua dan uzur bukan sahaja diri sendiri sukar melaksanakannya secara sempurna malah mungkin menyusahkan orang lain yang terpaksa menolaknya di atas kereta sorong. Betapalah kalau hendak berjuang dan berjihad seumpama perang.

2. Lapang sebelum sibuk

Sepanjang hidup kita sering sahaja sibuk dengan urusan keluarga, urusan kerja dan termasuk juga urusan kemasyarakatan. Dalam melaksanakan urusan itu semua, jarang sekali hati terus bertaut dengan Allah SWT. Memanglah urusan itu juga boleh dijadikan ibadah, namun ianya dinilai sebagai ibadah bukan secara autotomatik melainkan setelah cukup syarat-syaratnya. Ibadah yang khusus (ritual) pun kadang-kadang tidak menjadi ibadah kerana tidak menepati syarat-syaratnya.

Oleh itu kita dituntut supaya dapat memanfaatkan masa lapang yang ada sebaik mungkin untuk berhubung dengan Allah SWT. Maksudnya tidak disia-siakan begitu saja, tetapi inilah yang payah. Sebab itu Rasulullah ﷺ bersabda maksudnya: "Dua nikmat yang terpedaya manusia padanya iaitu sihat dan waktu lapang."

Yakni manusia sering mensia-siakannya. Dan akan datang penyesalan dan rasa tertipu, atau baru tahu dan menyedari betapa besar nilainya ketika kehilangannya (tiada waktu lapang).

3. Kaya sebelum miskin

Jangan menyangka bahawa kekayaan tidak boleh lenyap dan boleh kekal dengan kaya selama-lamanya. Kekayaan itu anugerah Allah SWT yang boleh ditarik bila-bila masa. Ketika kaya peluang untuk berbuat kebajikan terbuka luas. Allah SWT buka saluran kebajikan terlalu banyak. Malah dengan kekayaan itu lebih mudah untuk beramal. Ke masjid, boleh meredah hujan dan panas dengan berkereta. Jarak masjid yang jauh tidak menyukarkan.

Boleh pergi haji berulangkali walaupun tidak dituntut. Sedekah dan jariah boleh disalurkan kepada berbagai tempat. Khusyuk kepada Tuhan tentu lebih mudah kerana tidak digusarkan oleh perut lapar, nafkah anak isteri, tempat tinggal yang agak selesa. Islam dapat lebih mudah dikembangkan melalui alat yang canggih dengan adanya kekayaan.

Kemiskinan walaupun merupakan darjat peribadi namun menjadi penghalang kepada kepesatan perkembangan Islam. Dalam keadaan tertentu, kemiskinan yang terlalu mencengkam kehidupan dan berhabis masa untuk mengisi perut dan mengasapkan dapur tidak sempat mempedulikan agama Allah SWT. Kadang-kadang, tekanan hidup itu membuatkan hilang kelazatan amal kerana sering mudah hadir dalam fikiran ketika sembahyang atau zikir.

4. Sihat sebelum sakit

Manusia akan sangat menyedari betapa bernilainya sihat apabila ditimpa sakit. Kadang-kadang ketika sihat itu manusia menjadi lupa daratan, terutama sekali lupakan Allah SWT dan lupa kepada amal kebajikan. Allah SWT menyukai mukmin yang kuat. Salah satu ciri-ciri kekuatan itu ialah fizikal yang kuat dan sihat. Akal yang cerdas pula sering terletak pada badan yang sihat.

Banyak tugas dan tanggungjawab tidak dapat disempurnakan apabila ditimpa sakit. Sakit itu sesuatu yang datang dan pergi. Oleh itu tidak boleh leka ketika sihat, kerana apabila sakit, biarpun kemahuan untuk beramal itu ada namun keupayaan pula hilang. Nikmat sihat itu sesuatu yang besar yang mesti disyukuri.

5. Hidup sebelum mati.

Firman Allah SWT,

قُلۡ إِنَّ ٱلۡمَوۡتَ ٱلَّذِى تَفِرُّونَ مِنۡهُ فَإِنَّهُ ۥ مُلَـٰقِيڪُمۡ‌ۖ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ

"Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)." (Al-Jumuah:62:8)

Hidup di dunia ini sementara sahaja dan sangat sekejap. Andainya manusia hidup seratus tahun, itupun hanya beberapa minit sahaja kalau dibandingkan dengan tempoh Akhirat. Dalam tempoh yang sangat singkat itu kita menggunakan masa untuk memburu berbagai perkara. Sedikit sangat pula masa yang dipergunakan untuk amal dan kebajikan. Terlalu malang andainya kita memilih untuk hidup berfoya-foya dan membuang usia kepada yang sia-sia. Lebih-lebih lagi malang bagi orang yang terus kufur.

Nikmat dunia ini selain sementara lagi sekejap, di sebalik nikmat itu atau yang mengiringi nikmat itu ada kesusahan. Sedapnya makan diiringi dengan pembuangan najis. Lazatnya bersetubuh diiringi pula dengan keletihan. Cantiknya pakaian diiringi oleh kesibukan menjaganya. Banyaknya harta disertai oleh beban penjagaan dan pengurusan, semuanya akan berakhir dengan reput, rosak, berubah dan membebankan. Tidak dapat sedikitpun hendak dibandingkan dengan nikmat Syurga.

Betapa susahnya hidup di dunia ini tetap bersifat sementara dan sekejap saja. Betapa menderita dan sengsara, tetap ada orang yang bersimpati. Tidak langsung dapat dibandingkan dengan azab seksa akhirat.

Oleh itu jangan kerana memburu kesenangan yang sedikit di dunia hingga sanggup derhaka kepada Allah SWT. Natijahnya terlucut segala nikmat Syurga yang kekal abadi. Jangan kerana takut kepada kesusahan dan penderitaan yang sedikit di dunia ini hingga sanggup menderhakai Allah SWT hingga dilemparkan ke neraka yang kekal abadi.

Kesusahan di dunia ibarat terjatuh ke sarang semut api. Biarpun banyak namun tidak terasa lagi sakitnya sekiranya dalam waktu yang sama seekor harimau garang sedang hendak menerkam. Ketakutan kepada harimau itu melenyapkan ingatan kepada semut api yang banyak. Kegerunan kepada akhirat itu membius akal dan hati hingga hilang beban penderitaan di dunia. Maka orang yang ingat Allah SWT dan akhirat menjadi seorang yang berjiwa besar.

Reactions:

0 Pandangan yang Bernas !!: