Ingatan dari Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz itu mengandungi maksud bahawa tiada jaminan keadilan bagi mereka yang tidak mempedulikan Tuhan, agama dan akhirat. Kerana itu diperingatkan kepada para gabenor itu, agar ingat kuasa Allah jika terasa ingin menzalimi manusia.
Gabenor yang dilantik Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz itu, pastilah orang-orang yang layak untuk jadi pemimpin, dan mereka itu dipilih berdasarkan taqwa. Dalam keadaan begitupun, masih dibimbangi Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz, kalau-kalau mereka terbuat zalim kepada rakyat, dari kerana kuasa yang diberi ke tangan mereka.
Kerana itu tidak hairanlah kita, jika kedapatan (ramai) penguasa-penguasa di dunia hari ini yang menzalimi rakyat sendiri. Lihat sahaja PBB dan Amerika yang kononnya berfungsi selaku pendamai, sebaliknya dalam waktu yang sama PBB memberi laluan kepada Amerika itu sendiri melakukan tindakan melampaui batas kemanusiaan, dan seringkali bertindak zalim, kejam dan ganas.
Begitulah juga pemimpin-pemimpin dunia yang rakus kuasa, yang penganut ideologi yang terpisah langsung dari Tuhan. Di zaman manapun, semenjak dari manusia awal, dan siapa pun dan tidak kira di mana, penganut ideologilah yang paling mudah membuat tindakan ganas dan pencetus kezaliman. Sekalipun lidah mereka begitu petah menyebut keadilan, perpaduan atau perdamaian.
Ini kerana penganut ideologi tidak pernah memperhitungkan soal Tuhan dan agama dalam hidup mereka. Bagi mereka, kepentingan hidup sementara ini saja yang diperhitungkan. Untung rugi mereka adalah di dunia ini semata-mata. Tuhan dan akhirat belakang kira. Malah terputus langsung dari agama, keTuhanan, hukum hakam, syariat dan perhitungan dosa pahala, neraka syurga.
Bagi penganut ideologi, apa yang mereka pertahankan sebagai maruah, kehormatan, keamanan dan ketenteraman itu adalah hak milik dirinya sendiri. Ertinya gangguan itu jangan berlaku terhadap diri mereka, keluarga mereka, dan kepentingan mereka. Kepada orang lain tidak diperhitungkan.
Sebab itu Amerika (yang menjadi contoh bagi penganut ideologi di negara lain) sanggup berbuat apa saja terhadap Iraq atau juga kepada mana-mana negara dunia apabila kepentingannya dirasakan tergugat. Biarpun tindak balasnya sangat-sangat melampaui batas dan keterlaluan, itu semua sudah tidak dipedulikan. Asalkan kepentingan Amerika itu sendiri terjamin.
Inilah yang dinamakan 'hukum rimba', iaitu haiwan dan tumbuhan. Haiwan bersifat siapa kuat dia berkuasa, yang kecil dan lemah sentiasa menjadi mangsa. Pokok-pokok pula akan sentiasa melepaskan pucuk masing-masing untuk lebih tinggi mengatasi pokok lain.
Jika begitu, kita akan sentiasa terdedah kepada kezaliman dari orang yang hanya menjadikan ideologi sebagai pegangan hidup. Cuma mungkin mereka membawa mesej kedamaian dan keadilan sementara belum ada peluang menindas dan kejam. Atau mungkin belum masanya kerana kepentingan dirinya belum tergugat.
Islam memang mengajar umatnya menentang dan menghapuskan sebarang bentuk kezaliman. Tidak kira sama ada zalim itu terhadap diri sendiri mahupun kepada orang lain. Tidak kira sama ada zalim itu bersifat lahiriah mahupun rohaniah. Zalim yang bersifat lahiriah memang mudah dikesan. Ini yang ditakuti dan sering diperkatakan di mana-mana malah ditentang.
Namun kezaliman bersifat rohaniah ini sering diabaikan malah umat Islam sendiri ada yang tidak mengetahui dan tidak memahaminya. Lantas dipandang remeh dan terus tidak dipedulikan. Malah Islam lebih mengutamakan penghapusan kezaliman rohaniah ini. Kerana inilah punca berlakunya kezaliman lahiriah. Ianya ibarat seseorang yang memiliki racun berbisa. Dengan adanya racun itulah maka orang lain boleh turut terkena bisanya.
Mari lihat ingatan Allah SWT:
وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَڪُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ
"Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berbuat kezaliman, maka kamu akan diazab api neraka, dan tidak ada bagimu pemimpin selain Allah, kemudian kamu tidak akan ditolong." (Surah Hud: 11:113)
Dalam Islam zalim mempunyai pengertian yang tersendiri. Jauh berbeza dari kezaliman yang difahami oleh kebanyakan manusia. Manusia pula seringkali bercanggah dan berbeza dalam memberi erti kezaliman. Zalim bagi fahaman komunis berbeza dengan yang difahami oleh sosialis dan berbeza juga dari puak demokrasi.
Zalim menurut pengertian Islam ialah apabila sesuatu itu (manusia atau benda) tidak diletakkan tepat pada tempatnya.
وَمَنۡ خَفَّتۡ مَوَٲزِينُهُ ۥ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓاْ أَنفُسَہُم بِمَا كَانُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا يَظۡلِمُونَ
Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya). (Al-A'raaf 7:9)
إِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ۬
Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya. (Ibrahim 14:22)
Kalau demikian maka dikira zalim juga kalau kita jadikan steam-roll atau bulldozer sebagai teksi, atau dijadikan beca untuk mengangkut kayu balak, atau kasut diletakkan di atas kepala atau kopiah diletakkan di kaki atau seluar dalam dipakaikan di luar.
Mengapa manusia seluruhnya memakai pakaian dan tidak bertelanjang. Paling kurang ada dua sebab iaitu tidak mahu berlaku zalim kepada tubuh badan yang tidak boleh terdedah kepada sejuk dan panas atau udara luar. Selain itu ialah untuk tidak mahu mendedahkan kemaluan yang sifatnya mesti ditutup. Dianggap zalim orang yang mendedahkan kemaluan bukan pada tempatnya.
Perbandingan ini saya bawa untuk memahamkan kepada kita terhadap sesuatu yang jauh lebih utama dan perlu dielak dari berlaku zalim. Iaitu mengapa manusia dihidupkan di atas mukabumi ini. Atau mengapa manusia diciptakan oleh Allah SWT. Jawabnya yang paling tepat mestilah datangnya dari Allah SWT juga kerana Allah SWT yang mencipta manusia.
Allah SWT telah tetapkan iaitu dalam firmannya:
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ
"Tidak aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah aku (Allah)." (Az-Zariyat: 51:56)
Maka jelas berdasarkan jawapan tersebut bahawa kezaliman yang paling besar ialah bagi siapa saja yang tidak menyembah Allah SWT. Inilah kezaliman rohaniah. Kezaliman lahiriah yang tampak dan disaksikan setiap hari itu hanyalah manifestasi dari kezaliman besar ini iaitu tidak menyembah Allah SWT. Dalam konteks yang lebih luas, tidak melaksanakan hukum hakam yang telah Allah tetapkan kepada manusia, sama ada dalam diri, keluarga, masyarakat atau negara.
Dosa, maksiat dan kemungkaran itu semua kerana manusia sudah tunduk kepada hawa nafsu dan tidak tunduk kepada Allah SWT. Membelakangkan agama dan syariat Allah itu adalah bukti bahawa kita berada dalam kezaliman yang amat besar. Kerana kita sudah tidak meletakkan diri kita tepat pada tempatnya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Sebab itu ajaran Islam telah mengajarkan kepada umatnya bagaimana hendak menangani kezaliman. Ini yang telah dipraktikkan oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Kita boleh lihat kaedah itu melalui pesanan Sayidina Umar Ibnu Khattab kepada tenteranya setiap kali berangkat ke medan peperangan.
Pergi berperang itu ertinya salah satu cara melenyapkan kezaliman golongan kuffar. Namun begitu tidak putus-putus Sayidina Umar memberi peringatan dengan katanya: "Hendaklah kamu lebih takut kepada dosa kamu sendiri berbanding musuh. Kalau kamu mati di tangan musuh, hanya jasad bercerai dengan roh. Kalau kamu mati dengan dosa kamu itu akan membawa kamu ke Akhirat. Orang kafir itu dikalahkan oleh sebab kedurhakaan mereka kepada Allah (zalim). Kalau kamu juga turut berdosa (zalim) kamu tidak dibantu oleh Allah SWT."
Di sini Sayidina Umar mengajarkan kaedah paling tepat dalam meruntuhkan kezaliman iaitu bersihkan diri dari dosa dan maksiat sama ada yang lahir mahupun dosa batin. Logiknya mudah sahaja iaitu tentulah tidak boleh mensucikan najis dengan air kencing. Hanya air mutlak saja yang dapat mensucikan najis. Air mutlak itu bersifat suci lagi mensucikan. Jika menyuci najis menggunakan air yang nampak bersih (seperti air mustakmal), ia hanya bersih, tetapi tidak suci.
Hari ini, di mana-mana saja kedengaran suara-suara lantang yang mahu meruntuh dan memusnahkan kezaliman. Apakah suara-suara itu datangnya dari mereka yang tidak zalim? Janganlah hendaknya berlaku di mana kezaliman pihak lain itu runtuh tetapi bertukar dengan orang lain yang turut menyuburkan kezaliman, cuma berlaku disudut yang berbeza.
Janganlah kita yang ingin memusnahnya kezaliman tetapi turut bergelumang dalam kezaliman tetapi di aspek lain. Ertinya sama-sama zalim dalam sudut yang berbeza. Tidak hairan apabila di mana saja suara yang mahukan kezaliman itu runtuh namun bukan saja tidak berlaku malah bertambah berleluasa.
Ertinya kuasa ghaib dari Allah yang berperanan mengalahkan musuh iaitu para penzalim. "Apabila kamu (tentera Islam) turut sama berdosa (zalim) nescaya Allah SWT biarkan kamu kepada musuh. Pada ketika itu siapa yang kuat antara kamu akan menang."
Ingatlah, kita akan dapat kemenangan itu kerana kita layak mendapat pertolongan Allah SWT maka Allah SWT musnahkan para penzalim. Apabila kita juga turut zalim Allah SWT tidak bantu dalam mengalahkan musuh. Kezaliman akan runtuh tanpa jerit pekik dan laungan lantang. Kezaliman akan cepat runtuh cukup sekadar suara hati, rintihan hati, keluhan hati terhadap dosa sendiri sambil mendambakan keampunan dan RahmatNya. Bersungguh-sungguh dalam menjauhi dosa dan hidup dalam keadaan bersyariat.
رَبَّنَا ظَلَمۡنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمۡ تَغۡفِرۡ لَنَا وَتَرۡحَمۡنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِينَ
"Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi." (Al-A'raf: 7:23)
0 Pandangan yang Bernas !!:
Post a Comment