Jika ada manusia yang dicipta Allah sebagai khalifah di dunia ini, tidak mengatur kehidupannya menurut peraturan-peraturan yang telah Allah tetapkan (syariat), dia tidak terlepas dari tiga keadaan. Sama ada dia jatuh kafir, jadi zalim atau tergolong dalam golongan fasik (derhaka).
وَمَن لَّمۡ يَحۡكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡكَـٰفِرُونَ
"...dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir." (Al-Maidah:5:44)
وَمَن لَّمۡ يَحۡڪُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
"...dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Al-Maidah:5:45)
وَمَن لَّمۡ يَحۡڪُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ
"...dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik." (Al-Maidah:5:47)
Oleh kerana bumi tempat kita tinggal ini milik Allah, yang mana kita hanyalah sebagai pentadbir alam Tuhan ini, selayaknya kita mengatur kehidupan kita mengikut apa yang telah ditetapkan Allah di dalam syariat-Nya.
Mengatur kehidupan, sama ada mengatur diri sendiri, keluarga, masyarakat, ekonomi, nikah-kahwin, kenduri-kendara, pejabat, atau lebih besar lagi dalam mentadbir negara hinggalah ke peringkat global, hendaklah dengan peraturan yang telah ditetapkan Allah, yang disebut di dalam Al-Quran, diperjelas oleh Rasulullah ﷺ melalui hadis.
Apabila gagal berbuat demikian, maka tergolonglah kita dalam salah satu, sama ada kafir, zalim atau fasik.
Biasanya, seperti yang selalu kita dengar, soal hukum kafir, zalim dan fasik ini ditujukan kepada pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Islam dalam pemerintahan dan pentadbirannya sahaja...sebenarnya TIDAK.
Kerana ayat Al-Quran itu Allah turunkan untuk umum manusia, ertinya ia menyuluh segenap ruang kehidupan, tanpa kecuali. Janganlah kita guna Al-Quran hanya untuk suluh soal pemerintahan sahaja. Bimbang jika begitu, kita tanpa sedar telah jatuh ke dalam golongan kafir, zalim atau fasik itu tadi.
Suluhlah diri kita, apakah segala apa yang diperintahkan Allah telah kita patuhi? Sudahkan kita mengatur kehidupan sehari-hari mengikut peraturan Allah?
Allah perintahkan kita beriman. Sudahkah kita beriman dengan sebenar-benar yakin?
Allah perintahkan agar kita solat fardhu lima waktu. Sudahkah kita tunaikan tepat pada waktunya, serta menepati syarat dan rukunnya? Sudahkah kita khusyuk dalam kita melaksanakan solat itu? Sudahkah solat kita itu melahirkan rasa kehambaan kita kepada Allah?
Allah perintahkan agar menjaga kehormatan. Disegi berpakaian, diperintah kita menutup aurat dengan sempurna. Sudahkah kita laksanakan? Jika belum, bimbang kalau kita termasuk dalam 3 kategori itu, kafir, zalim atau fasik.
Suluhlah dalam perkara-perkara lain sepanjang hidup kita. Makan minum, perbelanjaan, pergaulan, pekerjaan, akhlak, tingkah laku kita dan lain-lain, apakah telah menepati syariat.
Dalam kita mengatur keluarga atau rumahtangga, sudahkah mengikut peraturan Allah? Bermula dari sebelum berkahwin, semasa bertunang, akad nikah, kenduri walimatul urus, berhubung suami isteri, hingga mendapat anak.
Setelah berkahwin, sudahkah isteri dididik secara Islam? Cukupkah solatnya, sempurnakah tutup auratnya, baikkah layanannya, sungguhkah ketaatannya kepada suami dan kepada Allah SWT? Begitu juga para suami.
Setelah mendapat anak, sudahkah anak-anak diasuh seperti diajar Rasulullah ﷺ? Diajarkan solat dan lain-lain, agar dia menjadi anak yang soleh dan solehah.
Jika kita memiliki perniagaan, apakah perniagaan kita itu atas dasar taqwa, untuk memajukan umat Islam? Apakah ia bersih dari riba dan penipuan? Apakah terpelihara pergaulan dan syariat pekerja? Sudahkah dikeluarkan zakat setiap tahun? Apakah gaji pekerja dibayar seperti yang dijanjikan?
Persoalan di atas merupakan sekelumit persoalan dalam kita mengatur kehidupan sebagai khalifah di muka bumi milik Allah ini, yang mana kita hanya layak mengaturnya mengikut peraturan Tuhan, bukan mengikut peraturan yang kita cipta sendiri.
Belum lagi kita suluh persoalan masyarakat, pendidikan, kesihatan, ekonomi, jihad, amar makruf, nahi mungkar, soal pentadbiran, pemerintahan...Sudahkah semuanya diatur seperti yang Allah kehendaki?
Jika jawapannya tidak, mungkin kita telah termasuk dalam golongan kafir, zalim atau fasik, sedangkan untuk selamat di dunia dan akhirat, kita perlu masuk golongan mukmin yang bertaqwa.
Amat malang jika tergolong dalam golongan kafir, kerana janji Allah untuk mereka,
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ لَن تُغۡنِىَ عَنۡهُمۡ أَمۡوَٲلُهُمۡ وَلَآ أَوۡلَـٰدُهُم مِّنَ ٱللَّهِ شَيۡـًٔ۬اۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِۚ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ
"Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya." (A-li'Imraan 3:116)
Malang juga orang yang zalim, yang tidak mahu menurut perintah Allah,
فَبَدَّلَ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنۡہُمۡ قَوۡلاً غَيۡرَ ٱلَّذِى قِيلَ لَهُمۡ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِجۡزً۬ا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ بِمَا ڪَانُواْ يَظۡلِمُونَ
"Maka orang-orang yang zalim di antara mereka menukarkan perintah itu dengan perkataan yang tidak dikatakan kepada mereka. Oleh itu, Kami turunkan azab dari langit menimpa mereka, dengan sebab kezaliman yang mereka lakukan." (Al-A'raaf 7:162)
وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَڪُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. (Hud:11:113)
Cenderung kepada orang zalimpun Allah tegah, inikan pula bersekongkong, bersatu dan bekerjasama dengan mereka.
Begitu jugalah orang yang fasik, telah Allah SWT nyatakan di dalam Al-Quran,
وَٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا يَمَسُّہُمُ ٱلۡعَذَابُ بِمَا كَانُواْ يَفۡسُقُونَ
"Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka akan dikenakan azab seksa dengan sebab mereka berlaku fasik." (Al-An'aam 6:49)
Dengan ilmu ini, moga kita dapat menyuluh diri kita, mana tahu kita termasuk dalam title kafir, zalim atau fasik itu. Juga agar kita tidak mudah mudah menuding dan menuduh orang lain kafir, zalim atau fasik.
Sebagai menambah kefahaman, mari kita lihat, dalam keadaan apa seseorang itu melanggar syariat, atau tidak patuh perintah Allah, dia jatuh kafir, zalim atau fasik. Kita ambil contoh, jika meninggalkan solat.
عن جابر ابن عبدالله قال قال رسول الله صلى الله عليه والسلام اِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلاَةِ
Dari Jabir r.a., katanya dia mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: "Sesungguhnya tali penghubung antara seseorang dengan syirik dan kafir, ialah meninggalkan solat." [Hadis Sahih Muslim Jilid 1, No.63]
Dalam Syarah Sunan At-Tirmizi, terdapat hadis dari Rasulullah ﷺ:
مَنْ تَرَكَ صَلَاةً مُتَعَمِّدًا فَقَدْ كَفَرَ
"Barangsiapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka dia menjadi kafir." (Hadis hasan sahih, dikeluarkan oleh Ahmad, Syaikhan, An-Nasaie, Al-Hakim dan Ibnu Majah)
Di dalam hadis ini, disebut, siapa meninggalkan solat, maka dia boleh menjadi kafir, yakni bukan Islam lagi ketika itu.
Menurut takwil Imam As-Syafie, akan jatuh kafir jika dia tidak lagi yakin bahawa solat itu wajib, ertinya dia menafikan hukum. Biasa kita dengar orang berkata, "Buat apa sembahyang, buang masa saja. Lebih baik buat benda lain, ada juga faedahnya..." Kata-kata penghinaan sebegini menyebabkan seseorang itu jatuh kafir, terkeluar dari Islam, sama ada dia sedar atau tidak.
Orang yang meninggalkan solat sangat sombong dengan Allah, lebih sombong lagi jika dia menentang Allah dengan menafikan hukum wajib solat itu. Kerana itu orang yang meninggalkan solat (dalam keadaan sudah tidak meyakini kewajipannya), patut dihukum pancung. Kerana ia penderhakaan tahap tinggi selepas murtad. Menolak kewajipannya juga menyebabkan murtad, maka patut sangatlah dipancung saja jika tidak mahu bertaubat. Ini adalah satu kesalahan yang sangat besar. Sedangkan derhaka dengan ibu bapa yang melahirkan kita, pun kita rasa tidak patut. Inikan pula dengan ALLAH yang menciptakan kita.
Seseorang itu dikira zalim (menzalimi diri sendiri), jika dia meninggalkan solat, dalam keadaan dia tahu dan yakin, solat itu wajib baginya, cuma dia tidak melakukannya kerana tidak mampu lawan nafsu. Dia lalai dan leka dengan urusan-urusan lain. Ketika itu dia jatuh zalim.
Seseorang itu dikira fasik (derhaka kepada Allah) jika dia meninggalkan solat, dalam keadaan dia jahil, tidak tahu solat, atau tidak tahu bahawa solat itu wajib. Derhaka dan berdosa dia kerana tidak mahu belajar, sedangkan menuntut ilmu itu wajib.
Ketiga-tiganya, kafir, zalim dan fasik, tempatnya dalam neraka. Cuma perbezaannya, kekal atau tidak di dalamnya.
Suluhlah dalam perbuatan yang lain, dalam persoalan menutup aurat misalnya. Jika seseorang itu mendedah aurat, tidak kiralah lelaki atau perempuan, boleh jatuh kafir jika dia menolak kewajipan menutup aurat itu. Seperti katanya, "Menutup aurat itu hanya sesuai untuk zaman unta sahaja..di padang pasir tu banyak debu...sebab itu kena tutup." Perkataan seumpama ini menolak kewajipan menutup aurat yang diperintahkan Allah. Lebih-lebih lagi jika mengatakan ia kolot, ketinggalan zaman dan lain-lain.
Begitulah seterusnya, boleh jatuh zalim atau fasik jika meninggalkan perintah Allah itu (menutup aurat) kerana malas, tak tahan panas atau kerana jahil. Kiaskanlah dalam perkara-perkara yang lain, yang sentiasa berlaku dalam kehidupan kita.
Dalam mengatur rumahtangga, mestilah diatur menurut syariat. Masyarakat, jemaah, parti dan negara juga mestilah diatur menurut hukum dan peraturan yang telah Allah tetapkan. Jika tidak, pasti jatuh salah satu dari tiga golongan itu, kalau tidak kafir, jatuh zalim atau jatuh fasik.
1 Pandangan yang Bernas !!:
Thanks. Kadang2 saya pon terkena gak dalam soal2 ni..saya akan kongsikan dgn org lain gak. At least org lain mcm saya boleh tahu.
Post a Comment