Memberi maaf ketika marah
Rasulullah ﷺ bersabda, "Orang yang paling gagah perkasa di antara kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan nafsunya di waktu marah dan orang yang tersabar di antara kamu semua ialah orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain padahal ia berkuasa untuk membalasnya." (Riwayat Ibnu Abidunya dan Baihaqi)
Pernah berlaku, Sayidina Ali k.wj dalam satu peperangan, sudah berjaya menjatuhkan musuh..tiba-tiba musuh meludah mukanya. Lalu Sayidina Ali k.wj tidak jadi membunuh musuh tersebut. Bila ditanya mengapa tidak dibunuh musuh itu, beliau menjawab, aku bimbang jika ku bunuh juga musuh itu, bukan lagi kerana Allah, tetapi kerana marahkan ludahan orang itu.
Bukanlah mudah memberi kemaafan ketika marah, kerana itu marah itu perlu dikawal. Sabda Rasulullah ﷺ lagi, "Sesungguhnya marah itu datangnya dari syaitan, dan syaitan itu dijadikan dari api, dan yang dapat memadamkan api itu hanyalah air, maka apabila seorang dalam keadaan marah, hendaklah segera berwudhuk". (HR. Ahmad, Abu Dawud)
Bersedekah ketika kesempitan
Amat susah juga bersedekah ketika kesempitan. Jika kita dalam kesenangan, ramai yang boleh bersedekah, tetapi amat sedikit yang boleh berbuat demikian ketika sedang susah.
Perkara ini dapat dilihat dalam kehidupan Sayidina Ali k.wj. Pernah Siti Fatimah, isteri Sayidina Ali k.wj didatangi seorang peminta sedekah. Ketika itu Sayidina Ali k.wj mempunyai 50 dirham. Setelah menerima wang, pengemis itu pun balik. Di pertengahan jalan, Sayidina Ali bertanya berapa banyak yang diberi oleh Sayidatina Fatimah. Apabila diberitahu 25 dirham, Sayidina Ali menyuruh pengemis itu pergi sekali lagi ke rumahnya. Pengemis itu pun pergi dan Fatimah memberikan baki 25 dirham kepada pengemis itu.
Hebatnya kedua suami isteri yang telah dididik Rasulullah ﷺ.
Senyum? Benar senyum itu satu sedekah..tetapi perkara semudah itupun ramai yang masih gagal berbuat, apatahlagi bersedekah harta dalam masa sedang kesempitan. Tetapi Sayidina Ali dan Fatimah telah buktikan, hingga habis apa yang ada disedekahkan, kerana mereka amat yakin Allah Maha Pemberi Rezeki dan menjamin rezeki mereka.
Dalam kisah yang lain, datang seorang hamba Allah berjumpa Sayidina Ali dengan membawa seekor unta. Orang itu mengadu dalam kesusahan dan ingin menjualkan untanya. Maka tanpa berlengah Sayidina Ali menyatakan kesanggupan untuk membelinya, meskipun ketika itu dia tidak berwang. Dia berjanji akan membayar harga unta itu dalam masa beberapa hari.
Dalam perjalanan pulang, Sayidina Ali berjumpa dengan seorang lelaki yang ingin membeli unta itu dengan harga yang lebih tinggi daripada harga asal. Dia pun menjualkan unta kepada orang itu. Setelah mendapat wang, Sayidina Ali pun menjelaskan hutangnya kepada penjual unta.
Beberapa hari kemudian, Rasulullah ﷺ berjumpa Sayidina Ali lalu bertanya "Ya Ali, tahukah kamu siapakah yang menjual dan membeli unta itu?" Apabila Sayidina Ali mengatakan tidak tahu, Nabi menerangkan yang menjual itu ialah Jibril dan yang membelinya ialah Mikail.
Menjauhi perkara haram ketika seorang diri
Menjauhi perkara haram ketika seorang diri juga amat susah dilakukan. Kalau kita dapat menjauhi perkara haram ketika ramai, itu biasa, kerana malukan manusia, tetapi jika dapat menjauhi perkara haram ketika seorang diri, itulah sifat taqwa. Hasil rasa kehambaannya kepada Allah, dia merasa takutkan Allah, dan merasai Allah SWT sentiasa mengawasinya.
Ramai yang boleh menjauhi perkara haram ketika ramai, kerana malukan manusia, tetapi alangkah baiknya jika rasa malu itu dapat dikekalkan di hadapan Allah, maka itulah benteng dari berbuat maksiat.
Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah ‘Amir: “Sesungguhnya antara yang didapati manusia daripada ucapan Nabi terdahulu adalah ‘apabila engkau tidak malu, maka lakukan apa pun yang engkau mahu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Hadis itu menunjukkan betapa tanpa sifat malu, seseorang itu boleh melakukan apa saja kerana tidak takut seksaan Allah. Tidak merasai keAllah ada, malah tidak rasa Allah sentiasa mengawasi dan melihatnya. Dia seolah-olah orang yang tidak beriman, kerana malu juga satu cabang daripada iman.
Abdullah bin ‘Umar pernah mengatakan: “Malu dan iman itu sentiasa ada bersama-sama. Bila hilang salah satu daripada keduanya, hilang pula yang lainnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Malulah kepada Allah jika ingin berbuat yang haram ketika berseorangan. Tetapi bagaimana hendak malu kepada Allah jika Allah itu tidak dikenali?
Berkata benar kepada orang yang ditakuti atau orang yang selalu menolong
Berkata benar amat dituntut kerana Allah SWT berfirman:
ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ
Kebenaran itu datang dari Rabbmu,maka janganlah kamu sekali-kali termasuk orang-orang yang ragu." (Al-Baqarah:147)
Sabda Rasulullah ﷺ: "Katakan yang benar walaupun pahit dan jangan kamu gentar cercaan orang yg mencerca" (HR.Al-Baihaqi)
Firman Allah dan Al Hadis di atas adalah sebagai asas menyatakan kebenaran, dan pastinya akan ada orang yang menolak kebenaran itu, khususnya orang-orang munafik dan tidak beriman.
Maka kita di suruh berkata benar sekalipun pahit, sama ada kepada orang yang zalim (orang yang kita tidak suka), ataupun berkata benar dalam menegur orang yang kita sayangi.
Dan ada sebuah hadis, Rasulullah ﷺ bersabda:
أفضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائ
"Jihad yang utama ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim.” (Riwayat At-Tirmizi & Ibn Majah)
Maka kita diajar cara untuk berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim, dalam firman Allah SWT:
فَقُولَا لَهُ ۥ قَوۡلاً۬ لَّيِّنً۬ا لَّعَلَّهُ ۥ يَتَذَكَّرُ أَوۡ يَخۡشَىٰ (٤٤) قَالَا رَبَّنَآ إِنَّنَا نَخَافُ أَن يَفۡرُطَ عَلَيۡنَآ أَوۡ أَن يَطۡغَىٰ (٤٥) قَالَ لَا تَخَافَآۖ إِنَّنِى مَعَڪُمَآ أَسۡمَعُ وَأَرَىٰ
"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya (Firaun), dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut kepada-Ku. (44) Mereka berdua (Musa dan Harun) berkata: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa ia akan segera menyeksa kami atau dia akan melampau batas. (45) Allah berfirman: Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya. (46)" (Toha: 20: 44-46)
Mampukah kita memperkata kebenaran terhadap pemerintah yang zalim atau orang yang ditakuti mendatangkan mudharat kepada kita?
Sekiranya mampu, lakukanlah dengan baik dan betul caranya.
Sabda Rasulullah ﷺ :
“Barangsiapa yang hendak menasihati pemerintah dengan suatu perkara maka janganlah ia tampakkan di khalayak ramai. Akan tetapi hendaklah ia mengambil tangan penguasa (raja) dengan empat mata. Jika ia menerima maka itu (yang diinginkan) dan kalau tidak, maka sungguh ia telah menyampaikan nasihat kepadanya. Dosa bagi dia dan pahala baginya (orang yang menasihati).” (Hadis Imam Ahmad, Abu Nu’aim)
Kerana itu banyak kisah-kisah ulama dahulu menasihati pemimpin, agar sentiasa ingat dan berada di landasan yang betul. Tidak kurang juga mereka terpenjara dan diseksa hanya kerana berani menyatakan kebenaran.
Sebagai tambahan, elok kisah ini kita hayati. Seorang lelaki telah datang ke istana Amirul Mukminin Harun al-Rasyid, untuk menasihati Khalifah. Di hadapan Harun al-Rasyid, orang itu mengucapkan kata-kata yang kasar dan pedas.
Orang itu berkata, "Wahai Harun al-Rasyid, selama ini anda sudah melakukan begini dan begitu". Ia menyebutkan keburukan-keburukan Harun al-Rasyid.
Setelah selesai mendengarkan perkataan orang itu, Harun al-Rasyid menjawab, "Duhai saudaraku, apakah anda lebih baik dari Musa a.s?"
Orang itu menjawab, "Tentu saja, tidak".
Harun al-Rasyid kembali bertanya, "Apakah saya lebih jahat dari Firaun?"
Orang itu menjawab, "Tentu saja, tidak".
Harun al-Rasyid berkata, "Kalau begitu, selama anda tidak lebih mulia dibanding Musa a.s dan saya tidak lebih jahat dibanding Firaun, maka tidakkah anda perhatikan bahwa AllahSWT berfirman kepada Musa, "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya (Firaun), dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut kepada-Ku. (Thoha:20:44).
Begitulah jawaban Harun al-Rasyid kepada orang yang menasihatinya.
Bagaimana pula berkata benar kepada orang yang selalu menolong kita atau yang kita sayangi?
Sebenarnya perkara ini lebih sulit lagi untuk dilakukan. Hanya orang-orang yang ikhlas dipermudahkan Allah untuk melaksanakannya. Terutama seorang pemimpin, selalu gagal kepemimpinannya kerana gagal menasihati pembantu-pembantunya...atau pengampu-pengampunya. Lebih-lebih lagi jika telah terhutang budi.
Tetapi bagi mereka yang bertaqwa, takutkan Allah, dipermudahkan Allah. Sebagaimana kisah Sayidina Umar menegur isterinya yang menerima hadiah kalung emas dari isteri pembesar Romawi.
Tetapi ketika kalung itu dipakai, khalifah nampak tidak senang."Dari mana kalung ini?" tanya Khalifah Umar.
"Inikan hadiah dari isteri pembesar Romawi yang semalam datang ke mari bersama suaminya...," jawab isterinya.
"Kalau begitu kau tidak berhak memakainya. Hadiah itu harus menjadi milik negara!" sahut Khalifah Umar, tegas.
"Mengapa demikian? Bukankah kalung ini dihadiahkan oleh isteri pembesar itu...untukku dan bukan untuk negara?" jawab isteri khalifah.
"Apakah kalau seandainya aku bukan khalifah, kau juga akan diberi hadiah olehnya? Tidak! Berapa banyak wanita di Madinah ini. Tetapi tidak seorangpun diberi hadiah olehnya. Jadi hadiah ini ada hubungan dengan soal kenegaraan...," jawab khalifah.
Mendengar jawapan yang bernas itu, isteri khalifah segera melepaskan rantai emas dari lehernya. Lalu dengan tersenyum rantai itu diberikan kepada suaminya agar diserahkan kepada baitulmal.
Moga mendapat manfaat, sebagai peringatan diri yang selalu lupa.
0 Pandangan yang Bernas !!:
Post a Comment