Jom Kita Kongsi Ilmu :)

Thursday, August 25, 2011

Jangan Buka Aib Orang !!



Jangan buka AIB orang..!

Golongan yang menyebar khabar angin dan surat layang bagi memburuk-burukkan orang lain adalah manusia yang tidak mencintai keharmonian dan kestabilan hidup. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Awasilah diri kamu daripada berburuk sangka kerana perbuatan itu adalah satu pembohongan besar." “Janganlah mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu semua bersaudara-mara.” - (Hadis riwayat Bukhori dan Muslim)



Baginda mengingatkan umatnya agar sentiasa menjauhi diri daripada terjerumus ke dalam perbuatan keji. Perbuatan bersangka buruk terhadap orang lain, sebenarnya timbul daripada perasaan tidak berpuas hati dan dengki khianat atas sebab tertentu. Perbuatan sebegini melambangkan betapa rendahnya moral si pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain dengan menolak segala pertimbangan dan rasional akal anugerah Allah SWT. Ini kerana diri dikuasai nafsu marah dan dengki khianat berpanjangan.

Jika pun sesuatu tuduhan itu ada kebenarannya, orang yang mengambil kesempatan berbuat demikian perlu mengadakan bukti kukuh dan munasabah bagi membuktikan kebenarannya. Bukannya dengan mencantumkan cerita yang dibawa dari mulut ke mulut dan dijadikan modal menyebarkan wasangka buruk dan tuduhan palsu. Akibat perbuatan itu, akan wujud dendam berpanjangan di antara yang menuduh dan kena tuduh. Masing-masing ingin membuktikan tuduhan yang dibuat adalah benar.

Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa berita, maka periksalah dengan teliti kebenarannya agar kamu tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesali perbuatan kamu itu." - (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Islam juga melarang umatnya daripada perasaan suka mengorek rahsia orang lain. Peribahasa Melayu ada menyebut, jangan jaga tepi kain orang. Tetapi dalam beberapa hal yang membabitkan berlakunya kebatilan dan sumbang dalam masyarakat, dibolehkan berbuat demikian. Ini untuk menegahnya agar tidak terus menular dalam hidup bermasyarakat dan ajaran agama.

Tetapi apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini, perbuatan mencari rahsia orang lain bukan untuk menegah daripada perkara sumbang. Ia sebaliknya untuk mendapatkan maklumat peribadi seseorang. Maklumat itu kemudian dijadikan alat membalas dendam kepada orang itu. Islam menuntut umatnya agar menyembunyikan keaiban orang lain walaupun mengetahuinya. Ini kerana Allah SWT akan menyembunyikan keaiban kita daripada terhebah kepada orang lain.

Telinga adalah pancaindera anugerah Allah SWT. Justeru, muslimin hendaklah menjaga telinga mereka daripada mendengar berita atau khabar angin yang masih belum tentu kebenarannya. Tetapi jika terpaksa mendengarnya atas faktor keadaan, maka dituntut agar tidak pula menjadi penyebar apa yang didengar kepada orang lain. Ini mengelakkan daripada turut terbabit sebagai penabur fitnah yang bakal memporak-perandakan kehidupan bermasyarakat.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Beruntunglah orang yang sentiasa menyelidiki dan melihat keaiban sendiri." - (Hadis riwayat Muslim)

Satu sifat orang yang suka menyebar khabar angin dan fitnah ialah hasad dengki dan iri hati. Hasad dengki dalam definisi lengkap membawa maksud mencari jalan atau ikhtiar menghilangkan nikmat yang ada pada orang lain. Kesannya besar, bukan saja kepada orang yang didengki, malah akan terpalit kepada seluruh anggota masyarakat.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Berhati-hatilah kamu terhadap hasad dengki kerana ia boleh merosakkan amal kebaikan kamu seperti api memakan sekam." - (Hadis riwayat Muslim).

Jangan buka aib orang, kelak Allah buka aib kita di depan seluruh manusia..! InsyaAllah peringatan untuk diri sendiri, kalau sudi untuk sahabat-sahabat juga hendaknya..

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) “. Riwayat Ahmad

0 Pandangan yang Bernas !!: